Thursday, 1 June 2017

Pelvic Inflammatory Disease (PID) atau Jangkitan Pelvis


Antara punca yang boleh menyebabkan demam berpanjangan dan tidak diketahui punca bersama dengan sakit perut bagi wanita ialah jangkitan pelvis atau PID (pelvic inflammatory disease). Jangkitan ini mengambil masa untuk terbentuk sebelum ianya menunjukkan tanda-tanda atau simptom mahupun dari pemeriksaan klinikal.
Jangkitan pelvis atau PID ini biasanya bermula dari jangkitan pada bahagian kemaluan wanita, kuman bergerak ke atas dan mendiami kawasan lain seperti rahim, tiub fallopian atau ovari.Kebiasaannya, ianya disebabkan oleh jangkitan bakteria iaitu Gonorrhea atau Chlamydia dimana ianya merupakan jangkitan dari hubungan kelamin.
Dalam kebanyakan kes, PID ini tidak mempunyai simptom. 
Sakit pada bahagian ari-ari dan demam yang berpanjangan merupakan simptom yang sering berlaku. Selain itu, pesakit yang mengalami masalah PID ini juga boleh mengalami pedih ketika membuang air kecil, sakit ketika bersama dengan pasangan dan juga kitaran haid yang tidak teratur. Darah atau keputihan yang luar biasa dari kemaluan juga boleh berlaku.
Jangkitan PID ini boleh diramalkan melalui pemeriksaan klinikal. Akan tetapi, terdapat pelbagai lagi masalah wanita yang mempunyai simptom yang hampir sama dan menjadikan ianya susah disahkan melalui pemeriksaan klinikal sahaja. Beberapa ujian perlu dijalankan untuk mengesahkan ianya adalah PID. 
Ujian darah dapat membantu untuk mengenal pasti terdapatnya jangkitan kuman. Akan tetapi ujian ultrasonografi, CT scan (computed tomografi) ataupun MRI (magnetic resonance imaging) dapat memberikan gambaran yang jelas lokasi PID tersebut. Akan tetapi adakalnya gambaran yang kelihatan juga boleh juga disebabkan oleh masalah wanita yang lain seperti sista pada kilang ovari atau kandungan luar rahim. 
Untuk pengesahan yang lebih jelas, prosedur dipanngil laporoskopik perlu dilakukan. Prosedur ini ialah dimana kamera dimasukkan melalui lapisan otot abdomen. Kamera yang dimasukkan bersama dengan instrumen lain dapat membantu kawasan rongga pelvis pesakit dengan jelas dan PID tersebut dapat dikenal pasti. 
Selain itu, semasa prosedur ini dilakukan, bahagian tersebut dapat dipotong dan dikeluarkan. Tisu tersebut akan dihantar ke makmal untuk ujian lanjut. Ketika prosedur tersebut juga, tisu-tisu yang terdapat pada organ pembiakan wanita akan diperiksa dan manipulasi atau pembedahan kecil akan dilakukan pada yang sama jika perlu.
Rawatan untuk PID ini ialah dengan pemberian antibiotik. Ianya diberikan samada secara makan ataupun suntikan bergantung kepada saiz dan juga keadaan jangkitan semasa ianya dikenal pasti. Prosedur laporoskopik tersebut juga akan dibincangkan dengan lanjut bersama pakar yang merawat. Rawatan juga bukan hanya kepada pesakit, malahan pasangan juga perlu di rawat untuk mengelakkan PID berulang.
Jika dibiarkan, PID ini boleh menyebabkan beberapa komplikasi yang tidak diiingini. Ianya boleh menyebabkan saluran pembiakan wanita tersebut tersumbat seterusnya mengakibatkan ketidaksuburan. PID juga boleh menyebabkan kandungan luar rahim berlaku pada kawasan yang dijangkiti. Jangkitan ini juga boleh merebak dan menyebabkan jangkitan rongga abdomen seterusnya mengakibatkan pesakit tidak stabil dan berisiko kematian.
Yang utama ialah dengan mengelakkan dari PID ini terjadi sama sekali. Setia pada 1 pasangan amatlah penting. Semakin banyak pasangan, semakin tinggi kemungkinan PID boleh berlaku. Penggunaan kondom juga dapat membantu mengurangkan risiko jangkutan tersebut.