Anorexia
Salah satu masalah psikologi yang sedang meningkat naik bilangan kes ialah anorexia nervosa atau anoreksia. Keadaan dimana seseorang pesakit itu mempunyai masalah permakanan akibat dari merasakan diri mereka gemuk walhal berat badan mereka dibawah paras berat badan ideal.
Anoreksia bukanlah masalah di Malaysia sahaja, malahan secara globalnya melibatkan hampir 2.5 juta pesakit mengalami masalah ini. Ianya lebih kerap terjadi pada wanita berbanding lelaki. Pesakit anoreksia ini mula mendapat penyaki ini seawal usia remaja.
Tiada punca utama yang menyebabkan seseorang itu mengalami masalah untuk makan. Akan tetapi, anoreksia ini ada juga yang berkaitan dengan masalah genetik atau keturunan. Ianya juga ada kaitan dengan masalah psikologi yang lain seperti tekanan, kemurungan, fobia pada makanan dan beberapa sebab psikologi yang lain. Kesan terpengaruh dengan budaya sosial dengan melihat model-model dan juga pelakon yang kacak dan jelita, menjadikan mereka mengganggap kurus itu lebih baik.
Tanda awal pesakit anoreksia ialah kecenderungan mereka untuk kekal kurus dengan tidak mahu makan, memuntahkan semula makanan yang dimakan ataupun menggunakan ubat untuk mencairkan najis supaya ianya tidak dapat dihadam oleh badan. Mereka juga sering menimbang berat badan dan terlalu berhati-hati mengira kalori yang dimakan.
Akibat dari tindakan tersebut, simptom lain pula mula terjadi rentetan dari permakanan yang tidak seimbang. Kulit menjadi kering, keletihan, mulut berbau, pening, pitam, kitaran haid tidak menentu, jantung menjadi pantas atau boleh juga degupan menjadi perlahan. Masalah psikologi seperti kemurungan, cuak dan juga sukar tidur malam juga boleh berlaku.
Anoreksia ini boleh memberi kesan jangkamasa panjang. Disebabkan oleh kebanyakan pesakit mula mempunyai anoreksia pada usia remaja, ianya boleh menyebabkan gangguan kepada pertumbuhan pedakit. Pertumbuhan tulang akan terbantut. Gangguan pada usus dan organ dalaman juga berlaku. Selain dari pembentukan fizikal, ianya akan mengganggu pembentukan seksual pesakit. Bagi wanita, melibatkan pembentukan buah dada dan juga organ peranakan.
Pesakit anoreksia juga akan mengalami gangguan hotmon dan juga malnutrisi yang melampau. Usus terganggu menjadikan mereka sembelit dan kekurangan vitamin. Jantung juga boleh mengalami masalah sperti degupan tidak stabil, nadi menjadi lemah dan juga tekanan darah menjadi rendah dan seterusnya mengakibatkan kematian mengejut pada usia muda.
Tiada rawatan mudah untuk anoreksia ini, ianya memerlukan kombinasi rawatan psikologi, ubatan dan juga sokongan sosial dari keluarga dan juga rakan terdekat. Sesi kaunseling dan juga penjagaan diet dengan pakar nutrisi amatlah penting untuk memastikan pesakit tidak mengalami komplikasi-komplikasi jangka masa panjang yang tidak diingini.