Sunday, 30 April 2017

Bahaya Suntikan Vitamin C

Article Date 30th April



Tindakan kementerian kesihatan mengharamkan pusat kecantikan memberikan suntikan vitamin C dan juga suntikan-suntikan lain kepada pelanggam mereka amatlah bertepatan. Pemberian perkhidmatan suntikan oleh golongan yang bukan didalam profesion mereka boleh mengundang padah kepada pengguna.
Kehendak pengguna yang menginginkan kulit menjadi putih dan gebu dalam masa yang singkat menyebabkan suntikan-suntikan tersebut menjadi semakin menular. Terutamanya cecair-cecair yang dibeli tersebut dengan harga yang murah dari pengilang yang tidak diketahui mempunyai kelulusan  yang sah. 
Pengguna-pengguna tersebut tidak diberikan penjelasan dari sudut profession seorang doktor mengenai kesan sampingan dan juga faedah yang perlu dijelaskan dengan lanjut sebelum sesuatu rawatan diberikan. Mana-mana produk bahan kimia yang diberikan melalui suntikan perlu mempunyai kertas keterangan lanjut mengenai produk mereka. Dos yang boleh diberikan, kesan sampingan dan sebagainya perlu dijelaskan di dalam lampiran produk.
Setiap bahan kimia yang disuntik kedalam salur darah akan memasuki pembuluh darah dan dibawa ke jantung. Dari jantung ianya akan dipam ke selurh bahagian badan termasuklah organ penting seperti buah pinggang, hati dan juga otak. Fungsi buah pinggang dan juga hati adalah sebagai penapis bahan kimia yang memasuki badan.
Jika dos yang diambil melebihi paras merbahaya, kesan jangka masa panjang tidak dapat dielakkan. Ianya boleh menyebabkan buah pinggang dan juga hati menjadi rosak dan gagal berfungsi. Kegagalan buah pinggang dan hati adalah sesuatu yang tidak boleh diperbetulkan dan tiada rawatan khas untuk itu. Seterusnya menyebabkan toksik dalam badan berkumpul dan memudaratkan organ lain.
Simptom pengumpulan toksik dalam badan dan juga rosak buah pinggang dan hati ialah seperti bengkak kaki, tangan dan juga perut menjadi kembang dan buncit. Kulit pesakit boleh menjadi kuning, bersisik dan juga gatal seluruh bahagian badan. Pesakit juga sukar membuang air kencing ataupun air kencing berkurangan.
Lebih merisaukan ianya boleh menyebabkan pesakit mengalami sesak nafas, sakit dada dan akhirnya koma akibat gangguan fungsi otak disebabkan oleh pengumpulan toksik yang tinggi. Jika lewat mendapat rawatan, kematian mungkin berlaku.
Untuk memastikan keadaan buah pinggang dan hati adalah terkawal, ujian darah boleh dilakukan. Seterusnya ujian ultrasound dapat melihat saiz hati dan juga buah pinggan samada ianya masih normal, bengkak ataupun sudah mengecut. Melalui ujian darah tersebut, jika buah pinggang gagal berfungsi pesakit mungkin perlu menjalani rawatan dialisis. Lebih menyedihkan jika pesakit akan terus bergantung kepada rawatan dialisis sepanjang hayat. 3 kali seminggu dan 4 jam setiap kali dialisis dilakukan.
Sebelum masalah-masalah yang tidak diingini berlaku, pengguna hendaklah bertindak bijak dalam menentukan masa depan kesihatan dan juga keluarga. Bagi mereka yang menjual produk-produk cecair suntikan ini, perlulah ada rasa bertanggubgjawab atas kesihatan individu lain. Rujuklah kepada doktor tentang produk yang diberikan dan bukannya mengejar keuntungan semata-mata. Bagi jururawat yang mengambil upah di pusat kecantikan, sebagai golongan professional, anda hendaklah bersikap professional dalam menjalankan tugas bukan hanya mendapat imbuhan atas suntikan yang dilakukan.

No comments:

Post a Comment