Monday, 3 October 2016

Mycoplasma

Tarikh article: 25hb Sept 2016



Jangkitan paru-paru atau pneumonia merupakan jangkitan yang sering berlaku kepada kanak-kanak terutamanya di bawah umur 5 tahun. Di Malaysia ianya melibatkan 28-39% kes jangkitan. Ianya juga antara penyebab punca kematian akibat jangkitan yang terbesar bagi kanak-kanak secara umumnya.
Pneumonia ini boleh disebabkan oleh virus ataupun bakteria. Antara bakteria yang boleh menyebabkan jangkitan paru-paru ini ialah Mycoplasma. Sejenis bakteria yang disebarkan melalui titisan udara. Contohnya apabila seseoarang itu batuk dan terbersin. Ianya berlaku terutamanya kanak-kanak dalam peringkat sekolah rendah.
Bakteria ini boleh berada di dalam peparu pesakit untuk beberapa hari sebelum simptom ketara. Pada awalnya pesakit akan mengalami demam selsema biasa. Ini terutamanya demam dan juga batuk. Batuk pada awalnya tidak menghasilkan kahak. Akan tetapi kahak akan terhasil dan mula bewarna kekuningan atau kehijauan.
Jika dibiarkan demam akan semakin memuncak. Pesakit adakalanya akan menggigil kesejukan. Kanak-kanak yang dijangkiti ada kalanya akan mengadu sakit kepala dan sendi. Selera makan juga berkurangan. Lebih merisaukan jika pesakit mula bernafas dengan kencang dan sesak nafas boleh berlaku.
Untuk mengesahkan seseorang itu dijangkiti pneumonia atau tidak, pemeriksaan klnikal boleh membantu. Pemeriksaan suhu badan, auskultasi pada peparu dan juga kadar pernafsan seminit dapat memberi gambaran seseorang itu dijangkiti.
Ujian sinaran X-ray dada dapat mengesahkan terdapatnya jangkitan pada paru-paru pesakit. Untuk mengesahkan seseorang dijangkiti  mycoplasma ataupun tidak, ujian darah perlu dilakukan. Ini amatlah penting untuk memastikan rawatan seperti antibiotik yang sesuai dapat diberikan.
Rawatan antibiotik biasanya diberikan dalam bentuk suntikan, ini dapat mengawal jangkitan mycoplasma tersebut dengan lebih berkesan. Akan tetapi, jika keadaan pesakit stabil, pesakit boleh dibenarkan pulang dengan bekalan antibiotik dalam bentuk cecair atau pil. Pesakit tidak perlu di rawat di dalam hospital.
Rawatan untuk Mycoplasma ini hendaklah dimulakan dengan segera untuk mengelakkan komplikasi pada tisu badan lain seperti kulit, otak, sendi dan juga darah merah. Secara umumnya, jangkitan paru-paru oerlu dirawat pada peringkat awal kerana ianya boleh menyebabkan kematian.

Tuesday, 8 March 2016

G6PD

Article Date 28th Feb 2016
G6PD

Diantara ujian saringan yang selalu dijalankan pada setiap bayi yang lahir ialah menentukan status G6PD mereka. Sampel darah terus diambil dari tali pusat dan ujian dilakukan pada masa yang sama. Keputusan ujian diberitahu kepada kedua ibubapa sebelum bayi dibawa pulang.  
Glucose-6-Phosphate-Dehydrogenase atau G6PD merupakan enzim yang terkandung dalam sel darah merah. Ia berfungsi sebagai agen metabolisma tenaga yang melibatkan oksigen dalam sel darah merah manusia. Ia juga secara tidak langsung memastikan sel darah merah manusia menjadi stabil dan tidak mudah pecah. 
Kekurangan G6PD ini atau G6PD defeciency adalah berkaitan dengan keturunan dan akan menyebabkan beberapa masalah pada pengidap. Kurangnya enzim ini akan menyebabkan sel darah merah pengidap mudah pecah. Ini boleh menyebabkan pengidap mengalami kekurangan darah merah atau anemia. Tahap anaemia ini pula bergantung kepada bilangan sel darah merah yang pecah, oleh itu simptom kekurangan darah ini secara langsung bergantung kepada tahap anaemia yang berlaku pada ketika itu.
Kebanyakan pengidap G6PD ini tidak mempunyai apa-apa simptom dan menjalani hidup seperti biasa. Masalah hanya timbul apabila sel darah merah pesakit pecah dengan banyaknya akibat beberapa penyebab. Selain kekurangan darah merah, pesakit juga akan mengalami kekuningan atau jaundis.
Jaundis ini terjadi disebabkan oleh kegagalan hati memproses sel darah merah yang pecah. Dalam keadaan biasa terdapat kitaran pemecahan sel darah merah dimana ianya akan diproses didalam hati dan dikeluarkan sebagai najis. Jika terlalu banyak sel darah merah pecah dalam masa yang sama menyebabkan hati pengidap tidak dapat memproses produk akhir sel tersebut. Ianya akan terampai dan menyebabkan kekuningan atau jaundis terjadi. Kuning ini kelihatan lebih ketara jika 
Antara keadaan yang boleh menyebabkan sel darah merah pecah bagi pengidap G6PD ini ialah jangkitan kuman, ubat tertentu, makanan seperti kacang parang dan juga bahan kimia tertentu seperti ubat gegat. Antara ubat yang boleh menyebabkan sel darah merah pecah bagi penghidap G6PD ialah ubat rawatan malaria, ubat yang mengandungi sulfur, thiazolesulfone dan juga methilin biru. 
Ibubapa yang telah mengetahui anak mereka menghidap G6PD ini hendaklah memberitahu doktor yang merawat tentang isu tersebut. Ini untuk mengelakkan daripada mereka diberikan ubat yang boleh menyebabkan sel darah merah pecah dan mengakibatkan komplikasi yand tidak diingini akibat anaemia dan jaundis. Tiada rawatan yang boleh diberikan untuk mengubah kekurangan G6PD ini supaya menjadi normal semula.

Sunday, 14 February 2016

Strok Haba @ Heat Stroke


Article date 7th Febuary 2016


Di dalam siatem badan manusia terdapat pusat kawalan suhu badan, dimana suhu badan manusia dikekalkan antara 36-37.2 darjah celcius utk melindungi tisu badan. Apabila badan manusia terdedah kepada cuaca panas yang terlampau dalam jangka masa yang lama, sistem ini akan gagal berfungsi menyebabkan suhu badan tidak terkawal.
Strok haba terjadi apabila suhu badan meningkat secara mendadak sehingga 40.6 darjah celcius yang menyebabkan komplikasi pada sistem saraf badan. Ia bukanlah strok yang disebabkan oleh pendarahan otak ataupun saluran pada otak yang tersumbat.
Simtpom strok haba ini adalah pelbagai. Pesakit pada mulanya akan merasa pening, sakit kepala, kurang berpeluh, kaki dan otot menjadi kejang, muntah, kulit kering, jantung berdebar dan sesak nafas. Adakalanya pesakit boleh pengsan, menjadi sawan atau tidak sedarkan diri. 
Rawatan awal dan pantas untuk menurunkan suhu badan mangsa amatlah penting. Jika anda mengesyaki strok haba berlaku, pindahkan mangsa ke kawasan yang redup dan teduh, pasangkan kipas jika ada, pakaian mangsa oerlu dilonggarkan untuk melepaskan haba pada pakaian. Siram atau mandikan mangsa dengan air yang banyak. Letak ais pada celah ketiak dan celah kangkang. Ini dapat membantu menurunkan suhu badan dengan cepat untuk menlindungi tisu badan dari terkesan oleh suhu badan yang tinggi.
Yang oenting, sebelum kita terkena strok haba tersebut, langkah penjagaan amatlah penting. Elakkan aktiviti fikawasan panas untuk jangka masa yang lama. Jika terpaksa juga, hendaklah memakai pakaian yang nipis untuk mengelakkan haba teroerangkap pada kulit. Pasang kipas jika boleh. Balut kepala dengan kain yang basah sekerap mungkin. Banyakkan minum air sekurang-kurangnya 2.5 liter sehari, munum lebih jika boleh. Tanda- tanda awal kekeringan badan oerlu diperhatikan seperti bibir kering, otot kejang dan juga air kencing menjadi pekat dan gelap.
Pastikan kita tidak meninggalkan anak-anak di dalam kereta yang tidak berhawa dingin dalam jangka masa yang lama. Banyakkan duduk didalam bangunan yang berhawa dingin. Elakkan minuman yang berkafein dan beralkohol kerana ianya boleh menyebabkan dehidrasi berlaku lebih pantas. Minuman isotonik sangat membantu pada masa cuaca panas untuk mengelakkan dehidrasi. 

Zika Virus

IDemam Zika
Article Date 14th Feb 2016



Masih lagi tidak ada kajian yang lengkap mengenai virus Zika. Walaupun demam Zika ini telah dikenalpasti semenjak 1950, namun ianya tidak menjadi tumpuan sehinggalah pada awal tahun 2015 apabila virus ini menular di benua Amerika Selatan. 
Virus Zika ini berasal dari kumpulan virus yang sama dengan denggi. Ianya disebarkan oleh nyamuk aedes iaitu jenis nuamuk yang sama yang menyebarkan demam denggi. Akan tetapi, ianya juga dikatakan boleh merebak melalui air liur dan juga cecair sperma. Selain itu, ianya juga dipercayai joleh disebarkan dari bakal ibu ke janin yang dikandung. Walaupun begitu, masih lagi tiada pembuktian yang kukuh mengenai perkara ini. 
Simptom demam Zika ini juga adalah hampir sama dengan demam denggi iaitu ianya bermula dengan sakit kepala diikuiti dengan demam panas. Demam panas biasanya berlaku selama tiga hari sahaja. Selain itu ruam mula kelihatan dan keluar dengan banyaknya untuk dua hari sahaja dan ruam tersebut mula surut pada hari berikutnya. Ruam ini adalah lebih besar saiznya dari demam denggi dimana ruam denggi hanya kelihatan seperti bintik-bintik merah yang halus. 
Sakit sendi, mata kemerahan dan juga keletihan disebabkan kurang selera makan juga adalah antara simtom demam Zika ini. Akan tetapi hanya 1 dari 5 individu yang dijangkiti virus ini mempunyai simptom. Selebihnya tidak mengalami apa-apa simptom. Simptom ini biasanya hilang selepas 5-7 hari. 
Setakat ini tiada lagi kematian yang disebabkan oleh jangkitan Zika ini. Ini disebabkan serangan dan kesan pada manusia tidaklah seteruk demam denggi yang boleh menyebabkan pendarahan. Akan tetapi, apa yang merisaukan ialah ianya boleh menyebabkan kecacatan janin jika ianya menjangkiti ibu mengandung. Perkembangan otak janin akan terencat menyebabkan bayi yang lahir mempunyai saiz otak yang kecil dipanggil microcephaly. 
Selain dari itu, masalah lain yang dirisaukan ialah jangkitan virus zika ini boleh menyerang sistem saraf pesakit dimana ianya boleh menyebabkan kelumpuhan dan otot menjadi lemah. Pesakit akan mula dengan rasa sakit dan kebas pada anggita badan yang terlibat. Lebih merisaukan jika ianya melibatkan saraf dan otot paru-paru pesakit.
Buat masa ini masih tiada lagi pesakit yang disahkan menghidap demam Zika di Malaysia. Akan tetapi, langkah penjagaan perlu diambil terutamanya bagi mereka yang terpaksa pergi ke negara-negara di Amerika Selatan. Lebih-lebih lagi ibu yang mengandung atau bakal ibu.  Bagi mereka yang pulang dari negara tersebut harualah segera berjumpa doktor jika simtom Zika disyaki. 
Tidak semua hospital kerajaan dan swasta boleh melakukan ujian pengesahan Zika ini. Akan tetapi, ujian darah lain boleh dilakukan untuk memastikan pesakit tidak dijangkiti virus yang lebih berkemungkinan seperti denggi atau H1N1. Jika perlu, pesakit akan dirujuk ke hospital yang noleh mengesahkan virus Zika bergantung kepada pertimbangan doktor yang merawat. 
Buat masa ini juga masih lagi tiada vaksin khas untuk menentang virus ini. Begitu juga tiada ubat yang boleh diberikan jika pesakit dijangkiti. Hanya rawatan simptomatik diberikan jika mereka dijangkiti. Bagi ibu mengandung pula, rawatan susulan amatlah penting untuk mengetahui keadaan janin sepanjang tempoh mengandung. 
Bagi ibu yang sedang mengandung atau wanita yang merancang untuk hamil, hendaklah mengelakkan diri dari melawat ke negara atau kawasan yang dijangkiti Zika. Mereka hendaklah menangguhkan dahulu perjalanan. Bagi yang pulang dari negara tersebut juga, hendaklah menangguhkan dahulu perancangan untuk hamil sehingga 8minggu berikutnya. 
Bagi suami yang pulang dari negara tersebut pula, amatlah digalakkan untuk memakai kondom ketika bersama dengan pasangan kerana Zika boleh disebarkan melalui air mani. Seeloknya kondom perlu dipakai sehingga 8 minggu atau 6 bulan bagi mereka yang dijangkiti atau mempunyai simptom.