Sunday, 14 February 2016

Zika Virus

IDemam Zika
Article Date 14th Feb 2016



Masih lagi tidak ada kajian yang lengkap mengenai virus Zika. Walaupun demam Zika ini telah dikenalpasti semenjak 1950, namun ianya tidak menjadi tumpuan sehinggalah pada awal tahun 2015 apabila virus ini menular di benua Amerika Selatan. 
Virus Zika ini berasal dari kumpulan virus yang sama dengan denggi. Ianya disebarkan oleh nyamuk aedes iaitu jenis nuamuk yang sama yang menyebarkan demam denggi. Akan tetapi, ianya juga dikatakan boleh merebak melalui air liur dan juga cecair sperma. Selain itu, ianya juga dipercayai joleh disebarkan dari bakal ibu ke janin yang dikandung. Walaupun begitu, masih lagi tiada pembuktian yang kukuh mengenai perkara ini. 
Simptom demam Zika ini juga adalah hampir sama dengan demam denggi iaitu ianya bermula dengan sakit kepala diikuiti dengan demam panas. Demam panas biasanya berlaku selama tiga hari sahaja. Selain itu ruam mula kelihatan dan keluar dengan banyaknya untuk dua hari sahaja dan ruam tersebut mula surut pada hari berikutnya. Ruam ini adalah lebih besar saiznya dari demam denggi dimana ruam denggi hanya kelihatan seperti bintik-bintik merah yang halus. 
Sakit sendi, mata kemerahan dan juga keletihan disebabkan kurang selera makan juga adalah antara simtom demam Zika ini. Akan tetapi hanya 1 dari 5 individu yang dijangkiti virus ini mempunyai simptom. Selebihnya tidak mengalami apa-apa simptom. Simptom ini biasanya hilang selepas 5-7 hari. 
Setakat ini tiada lagi kematian yang disebabkan oleh jangkitan Zika ini. Ini disebabkan serangan dan kesan pada manusia tidaklah seteruk demam denggi yang boleh menyebabkan pendarahan. Akan tetapi, apa yang merisaukan ialah ianya boleh menyebabkan kecacatan janin jika ianya menjangkiti ibu mengandung. Perkembangan otak janin akan terencat menyebabkan bayi yang lahir mempunyai saiz otak yang kecil dipanggil microcephaly. 
Selain dari itu, masalah lain yang dirisaukan ialah jangkitan virus zika ini boleh menyerang sistem saraf pesakit dimana ianya boleh menyebabkan kelumpuhan dan otot menjadi lemah. Pesakit akan mula dengan rasa sakit dan kebas pada anggita badan yang terlibat. Lebih merisaukan jika ianya melibatkan saraf dan otot paru-paru pesakit.
Buat masa ini masih tiada lagi pesakit yang disahkan menghidap demam Zika di Malaysia. Akan tetapi, langkah penjagaan perlu diambil terutamanya bagi mereka yang terpaksa pergi ke negara-negara di Amerika Selatan. Lebih-lebih lagi ibu yang mengandung atau bakal ibu.  Bagi mereka yang pulang dari negara tersebut harualah segera berjumpa doktor jika simtom Zika disyaki. 
Tidak semua hospital kerajaan dan swasta boleh melakukan ujian pengesahan Zika ini. Akan tetapi, ujian darah lain boleh dilakukan untuk memastikan pesakit tidak dijangkiti virus yang lebih berkemungkinan seperti denggi atau H1N1. Jika perlu, pesakit akan dirujuk ke hospital yang noleh mengesahkan virus Zika bergantung kepada pertimbangan doktor yang merawat. 
Buat masa ini juga masih lagi tiada vaksin khas untuk menentang virus ini. Begitu juga tiada ubat yang boleh diberikan jika pesakit dijangkiti. Hanya rawatan simptomatik diberikan jika mereka dijangkiti. Bagi ibu mengandung pula, rawatan susulan amatlah penting untuk mengetahui keadaan janin sepanjang tempoh mengandung. 
Bagi ibu yang sedang mengandung atau wanita yang merancang untuk hamil, hendaklah mengelakkan diri dari melawat ke negara atau kawasan yang dijangkiti Zika. Mereka hendaklah menangguhkan dahulu perjalanan. Bagi yang pulang dari negara tersebut juga, hendaklah menangguhkan dahulu perancangan untuk hamil sehingga 8minggu berikutnya. 
Bagi suami yang pulang dari negara tersebut pula, amatlah digalakkan untuk memakai kondom ketika bersama dengan pasangan kerana Zika boleh disebarkan melalui air mani. Seeloknya kondom perlu dipakai sehingga 8 minggu atau 6 bulan bagi mereka yang dijangkiti atau mempunyai simptom.

No comments:

Post a Comment