Tuesday, 20 October 2015

Denggi Berdarah

Article Date 15 Mac 2015



Peningkatan laporan kes demam denggi berlaku secara mendadak di seluruh negara terutamanya lembah kelang. Senario ini amat merisaukan terutamanya peningkatan kes kematian yang melibatkan demam denggi. Komplikasi demam denggi yang boleh berlaku dalam masa terdekat dan secara tiba-tiba biasanya berlaku kepada pesakit yang mengalami denggi berdarah dan juga sindrom renjatan denggi.

Demam denggi tidak menjangkiti antara manusia ke manusia lain. Virus denggi dibawa oleh nyamuk Aedes dan menjangkiti manusia melalui gigitan nyamuk yang membawa virus tersebut. Selepas memasuki badan manusia, virus ini akan membiak dan menyerang sel darah putih, platlet dan juga sel tisu badan manusia.

Virus ini boleh berada di dalam badan manusia sehingga 2 minggu sebelum pesakit mula mempunyai simptom demam denggi. Akan tetapi, kebiasaannya hanyalah 4-7 hari selepas dijangkiti simptom seperti sakit kepala, demam panas, sakit sendi, sakit badan, hilang selera makan, sakit belakang mata dirasai oleh pesakit. 

Demam panas kebiasannya hanya berlaku pada 3 hari pertama sahaja. Suhu badan akan mencecah lebih 38.5 darjah Celcius terutamanya pada waktu petang dan malam. Walaupun ubat telah diberikan, demam panas tetap berlaku selang 4-6jam.

Yang lebih merisaukan ialah jika ianya dituruti dengan muntah dan juga cirit birit. Ruam mula keluar kebiasaannya selepas 3 hari demam. Pesakit juga boleh mengalami pendarahan dari gusi, muntah berdarah, najis berdarah dan juga batuk berdarah. Ini berlaku apabila platlet darah menjadi semakin rendah dari hari ke hari. Masa kritikal untuk pesakit ialah pada hari ke 4 hinga ke 7 demam.

Keadaan ini dipanggil denggi berdarah dan meningkatken kemungkinan pesakit boleh mengalami sindrom renjatan denggi. Ini berlaku disebabkan cecair badan terkeluar dari salur darah dan tidak mengalir didalam salur darah seperti biasa. Ini menyebabkan cecair dalam salur darah menjadi pekat seterusnya dehidrasi berlaku. Jika ini berterusan, tekanan darah pesakit akan menjadi rendah, nadi menjadi semakin laju dan akhirnya kematian boleh berlaku.

Malangnya, bagi jangkitan denggi ini, tidak ada rawatan khas untuk membunuh virus tersebut atau melewatkan proses penyembuhan. Selain itu, jangkitan ini tidak ada vaksin yang dapat menghalang pesakit dari mendapat jangkitan ini. Rawatan uatam di dalam ward ialah dengan memastikan pesakit tidak mengalami dehidrasi dengan memantau tanda-tanda vital dan juga memantau nilai platlet darah pesakit.

 Pelbagai langkah kerajaan telah diambil untuk membendung wabak denggi ini. Akan tetapi semuanya bergantung kepada kita untuk memastikan ianya dapat dikawal. Bermula dengan penggunaan ubat jentik-jentik, penyemburan nyamuk dan yang paling utama ialah memastikan kebersihan sekeliling tempat tinggal. Air yang bertakung merupakan tempat pembiakan nyamuk aedes. Ianya perlu dibersihkan terutamanya dikawasan pembinaan.

No comments:

Post a Comment